+


keep breathing

HM PR TB EX LK
dunia mendesak kita untuk berfikir
agar tidak mudah tergelincir
do you happy?
Sunday, 22 November 2015 | 0 Comments

Assalamualaikum



Sebelum melangkah lebih jauh, mari kita definisikan perkataan gembira dengan sempurna. Seperti kita maklum, gembira ialah salah satu perasaan batiniah yang ada pada setiap manusia. Gembira tidak dapat dilihat dengan mata kasar namun sudah cukup untuk diketahui melalui sebuah senyuman dan gelak tawa.

    Sepanjang pengalaman hidup saya di bumi, sayamelihat pelbagai jenis kegembiraan dalam kalangan manusia. Namun bagi saya, terdapat keanehan dalam kegembiraan tersebut. Maksud saya, mengapa rasa gembira itu wujud dalam berbagai-bagai bentuk? Mengapa tidak semua manusia merasai kegembiraan yang sama?

    Sebagai contoh, antara kegembiraan yang saya perhatikan dan pernah alami adalah memiliki kediaman yang selesa, mempunyai keluarga dan lain-lain lagi yang bersifat kebendaan. Semua itu diimpikan dan diperlukan oleh setiap manusia untuk meneruskan kehidupan. Malangnya, mengapa Tuhan takdirkan ada yang tidak dapat memiliki keperluan tersebut.

    Ada dalam kalangan kita yang dilahirkan yatim piatu. Tidak mempunyai ibubapa dan adik-beradik untuk bergantung dan bertukar kasih. Jika anda berada di tempat mereka, apa yang bakal anda rasa? Sudah tentu pelbagai persoalan yang bakal timbul. Antaranya mungkin “mengapa hidupku tidak seindah mereka” “mengapa aku tidak punya ibubapa” “dimana keadilan Tuhan”

    Lihat pula keadaan manusia yang tidak direzekikan untuk menginap di tempat yang selesa. Rumah mereka persis reban ayam atau mungkin lebih teruk. Inilah hakikat kehidupan yang sering kita lupakan. Dikala kita enak memanjakan diri di tilam yang empuk, masih ramai manusia yang bertawakal kepada Tuhan agar dilindungi dari bencana.

    Sayu sekali melihat nasib mereka. Kata orang ‘berat mata memandang, berat lagi bahu memikul’ Jadi, ayuh fikirkan apa solusinya. Jika kita cintakan kebenaran, sudah pasti kita tidak boleh duduk diam dan melihat saja. Jiwa kita berkobar-kobar untuk mencari jawapan kerana semuanya telah ditentukan Tuhan. Mustahil Tuhan sengaja ingin menyusahkan mereka. Jika tidak, lebih baik mereka tidak perlu dicipta.

    …………

   Untuk mencari jawapan itu, kita tidak boleh berfikir sahaja tetapi perlu disertakan pengalaman dan ilmu pengetahuan. Ilmu pengetahuan pula perlu bersifat global kerana ini adalah jawapan kebenaran. Diingatkan sekali lagi, kita sedang mencari jawapan untuk perasaan gembira. Mudah-mudahan Tuhan bantu.

  Dari sudut pengalaman, saya akan ceritakan bagaimana perasaan gembira saya apabila memiliki keluarga, rumah yang selesa dan berbagai-bagai lagi bentuk kesenangan. Sejak kecil lagi, saya hidup dalam keluarga yang sederhana. Setakat ini, belum pernah kami menginap di rumah kayu. Paling kurang pun kuarters kecil ketika ibubapa saya menjadi warden di sekolah berasrama. Saya datang dari keluarga yang berlatarbelakangkan agama. Ibubapa saya ustaz dan ustazah. Masing-masing mendidik saya dan adik-adik dengan ilmu agama. Disebabkan suasana hidup yang keagamaaan, maka saya lebih cenderung ke arah itu walaupun kadang-kadang tergugat juga nafsu. Kesimpulannya, saya bersyukur dengan kewujudan ahli keluarga saya.

   Berbalik kepada persoalan, adakah saya gembira dengan keluarga saya? Jawapannya sudah tentu. Tanpa mereka, siapalah saya. Segala keperluan dalam bentuk makanan dan pakaian dapat saya nikmati. Namun, langit tidak selalu cerah. Kadang-kadang ada juga masalah-masalah yang berlaku baik yang dicetuskan oleh saya mahupun ahli keluarga. Tetapi tidaklah besar sekali masalah itu jika dibandingan dengan sesetengah manusia yang diuji bebanan hutang, penceraian, masalah anak-anak dsb. Itu lebih dahsyat.

    Masalah yang saya maksudkan adalah kemiskinan jiwa. Saya akui kadang-kadang saya menghidap penyakit ini. Penyakit misteri yang terlalu seni untuk diceritakan. Saya beri contoh situasi. Disebabkan saya dikurniakan pelbagai bentuk kesenangan, saya selalu kufur kepada Tuhan dan ibubapa. Kufur kepada Tuhan berlaku apabila saya merasa cukup dan tidak perlu bergantung kepada sesiapa selain ibubapa. Diwaktu itu, perasaan gembira akan menguasai diri saya kerana segala permintaan dikabulkan oleh ibubapa saya. Maka, lahirlah diri saya yang solat tetapi sekadar bersenam tanpa sebarang penghayatan dan cakap tak serupa bikin.

   Kufur kepada ibubapa pula sering menimpa diri saya. Sebagai contoh, kadang-kadang saya amat malas untuk belajar kerana saya yakin apabila sudah dewasa nanti, hidup saya akan ditanggung oleh mereka. Selain itu, saya kurang menghargai pemberian mereka seperti keperluan dan kasih-sayang. Pernah juga saya melenting apabila tidak sependapat dengan mereka. Sedangkan Tuhan telah memerintahkan kita untuk berbakti kepada mereka terutamAnya ibu. Namun sebagai anak, itulah dosa yang sering kita lakukan. Aduhai. Bukan itu sahaja, kadang-kadang saya lalai dengan kemudahan telefon pintar yang diberi. Seronok tetapi sengsara! Eh?

   Jadi, mari kita lihat pula situasi seorang anak yatim yang tiada tempat bergantung. Dek kerana tiada tempat bergantung, mereka berfikir untuk bergantung dengan diri sendiri dan Allah! Mereka percaya rezeki datang dari Allah dengan syarat mereka berusaha. Usaha mereka menjadikan mereka manusia bijak mencari peluang, luas pengalaman dan berjiwa besar!  Itulah yang berlaku kepada segenap pemimpin yang hebat. Disebalik kehebatan mereka memimpin masyarakat, Tuhan telah terlebih dahulu memimpin mereka melalui ujian-ujian seperti itu. 



Labels: ,